SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS4 | Selangor FC 2-1 Perak FC | Skuad Gergasi Merah Menduduki Tempat Ke-2 Liga Super 2024/25

Jun 24, 2024 - FAS

Selangor FC menduduki tempat ke-2 selepas kemenangan ketiga berturut-turut selepas menentang Perak FC dengan keputusan 2-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Semalam merupakan kemenangan ketiga kali berturut-turut dalam saingan Liga Super 2024/25. Penyerang import baharu, Ronnie Fernandez telah menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-24 dan ke-40 dalam perlawanan #SFCPRK semalam.??Selain itu, menurut statistik, Gergasi Merah telah menguasai perlawanan dengan 52% penguasaan bola, 84% ketepatan hantaran, 8 percubaan dan 5 sepakan penjuru.

Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Gergasi Merah bersyukur pasukan terus berikan komitmen sepenuhnya biarpun beraksi hanya dengan 10 pemain di separuh masa kedua, “Kita berpuas hati dengan komitmen para pemain kerana bukan senang untuk mendapatkan kemenangan apabila beraksi seramai 10 di padang dan menentang pasukan yang bermain 10 juga tidak mudah. Bola sepak bukan sahaja tentang taktikal tetapi juga komitmen dan jati diri pemain untuk menang dalam perlawanan ini.” jelas beliau mengenai perlawanan #SFCPRK semalam.

Daripada perlawanan #SFCPRK semalam, beberapa perkara penting menjadi perhatian, seperti:-

  1. Ronnie Fernandez dinobatkan sebagai Man of The Match dengan dua jaringan beliau

Dua jaringan Selangor FC pada petang semalam telah dijaringkan oleh Ronnie Fernandez hasil daripada tindakan pantas beliau menendang masuk bola dengan tenang selepas pihak lawan cuba menyelamatkan gawang mereka daripada tandukan Safuwan Baharudin, serta sepakan percuma pada minit ke-40 perlawanan, sekali gus menjadikan beliau sebagai Man of The Match untuk perlawanan #SFCPRK. Setakat ini, beliau telah menjaringkan tiga gol bersama squad Gergasi Merah.

  1. Komitmen pemain muda di separuh masa kedua menjadi sebutan

Menurut, Nidzam Jamil, komitmen pemain-pemain muda sangat bagus, “Beraksi dengan 10 pemain bukanlah satu situasi yang mudah tetapi dengan kemasukan Danial Asri, Mukhairi Ajmal, Syahir Bashah dan Zikri Khalili telah  menunjukkan komitmen mereka dengan menambah kekuatan pertahanan serta serangan. Situasi dalam kem Selangor FC adalah sangat sihat, semua pemain akan diberikan peluang yang sepatutnya jika mereka terus bersaing dan berikan permainan yang baik seperti ini.”

Pihak pengurusan Selangor FC ingin berterima kasih kepada 10,111 penyokong yang telah hadir ke perlawanan #SFCPRK semalam. Atmosfera perlawanan semalam juga antara yang termeriah setakat ini. Teruskan dengan sokongan anda dan penuhkan stadium dalam setiap perlawanan. 

Demi Kebanggaan